PERUTUSAN
pERUTUSAN PENGERUSI KAKIB
BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM…
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada seluruh anggota Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) yang dikasihi sekalian.
Alhamdulillah KAKIB masih terus teguh berada dalam Gerakan Koperasi di Malaysia hasil daripada sokongan padu yang tidak berbelah bagi daripada seluruh anggotanya. Dalam menjalankan operasi perniagaan dan penyampaian perkhidmatan kepada anggotanya, sudah pastilah terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang harus dihadapi, namun hasil daripada kerjasama dan semangat berkoperasi yang tinggi, Alhamdulillah segala rintangan ini dapat diatasi. Pelbagai kejayaan, pencapaian dan pengiktirafan juga telah diterima oleh KAKIB hasil daripada kerjasama semua yang sentiasa memastikan perjalanan tadbir urus KAKIB sentiasa berada di landasan yang betul. Jutaan penghargaan terima kasih dan syabas diucapkan kepada semua.
Dalam menjalankan perniagaannya, tadbir urus KAKIB sentiasa memastikan segala aspek perundangan dan peraturan dipatuhi agar tidak tersasar daripada tatacara serta garis panduan yang telah ditetapkan supaya tidak menjejaskan prestasi dan reputasinya. Seiring dengan usia penubuhannya yang telah melebihi 100 tahun, diharap agar KAKIB akan terus kekal relevan kepada anggotanya dan berdaya maju dari tahun ke tahun yang mendatang.
Akhir kata, besarlah harapan kami agar seluruh warga kerja KAKIB lebih optimis untuk kekal memberikan komitmen yang terbaik dalam apa jua tugasan yang diamanahkan. Selain daripada itu, sokongan dan kepercayaan daripada anggota KAKIB amat diperlukan agar segala matlamat yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan. KAKIB tidak akan wujud tanpa adanya tuan/puan selaku anggota. Ayuh, kita terus bekerja bersama untuk meneruskan agenda kemajuan KAKIB tercinta ini dengan lebih yakin dan berani.
Kepada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan, terutama Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak, Institut Koperasi Malaysia dan ANGKASA diucapkan terima kasih kerana sentiasa memberikan kerjasama, bimbingan dan sokongan kepada KAKIB. Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan juga ditujukan kepada seluruh barisan Anggota Lembaga, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Audit Dalaman atas usaha dan sumbangan yang telah diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen yang berterusan demi kemajuan KAKIB.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.
MOHD HASRIZAD BIN ZAMAN P.P.T
Pengerusi KAKIB